ZAINOTES. Saya mengenali seorang wanita yang kerap menjalin hubungan istimewa bersama lelaki. Sebaik hubungan sedia ada menemui titik buntu, dia pasti mencari cinta yang baru. Hidup bersendirian bukanlah pilihan kerana baginya kesunyian bermakna tiada kebahagiaan. Dia sentiasa ingin menyintai dan dicintai, menyayangi dan disayangi.
Suatu ketika,
dia bersama seorang lelaki yang dilihat sangat sesuai untuk dirinya.
Cuma sayangnya, lelaki itu tidak memberikan sepenuh cinta yang
didambakannya. Namun dia membiarkan saja perkara itu terjadi tanpa mau
memutuskan ikatan yang terjalin.
Apabila ditanya,
mengapa? Jawabannya, dia tidak punya pilihan lain, kerana dirinya
bersendirian bukanlah sesuatu yang diinginkan. Bersendirian bagai suatu
penanggungan yang amat memeritkan berbanding kurangnya kasih saying dari
kekasih. Walau itu tidak sebagaimana yang diimpikan.
Sampai
saatnya, hubungan itu menjadi bertambah buruk. Perpisahan terjadi juga.
Ketika itu, dia bersedia menghadapi kemungkinan yang berlaku dan
terpaksa juga hidup tanpa teman. Sungguhpun dia amat benci hidup
sendiri, namun akhirnya dia kelihatan boleh menjalani saat-saat getir
itu tanpa kekecewaan yang memusnahkan. Dia bagaikan baru sedar bahawa
sebenarnya dia mampu hidup sendirian.
Sembilan
bulan berlalu, sehinggalah dia menemui seorang lelaki yang amat baik
budi. Kali ini, lelaki tersebut mau menjalin ikatan lebih serius dan
tinggal bersamanya, dan itulah yang sering diharapkan dari semua
kekasihnya sebelum ini. Akan tetapi, entah kenapa, kali ini dia menolak.
Dia menyedari, terlalu banyak kebahagiaan yang dapat dinikmati walau
hanya hidup bersendiri.
Kisah di atas adalah cerita benar yang diberitahukan oleh seorang wanita kepada Richard Templar, penulis buku The rules of love. Buku ini, buat kesekian kalinya merupakan hadiah dari suami yang saya kasihi.
Saya
tertarik dengan kesimpulan Templar yang pada akhir pengkisahan wanita
berkenaan. Menurut Templar, sungguhpun pada awalnya wanita itu bagaikan
tenggelam dalam hubungan yang tidak kesampaian, namun dia hanya
membiarkan dirinya lemas lantaran takut hidup bersendirian.
Akan
tetapi, saat menyedari bahawa dia mampu hidup lebih gembira dan bahagia
walau tanpa seseorang di sisi, dia mulai meletakkan standard yang jauh lebih tinggi.
Andai
nantinya, dia hidup berpasangan, kehidupan itu harus lebih
membahagiakan dan menyenangkan dibandingkan ketika dia bersendirian.
Jika hidup berdua lebih menjamin seperti itu, barulah dia sanggup
menggadaikan kehidupan bersendiriannya.
Seterusnya,
Templar merumuskan, untuk beroleh bahagia seseorang itu perlu belajar
untuk merasa bahagia dan gembira dengan dirinya sendiri, tanpa campur
tangan pihak lain. Dengan itu, barulah seseorang itu dapat mengatasi dan
menghadapi rasa takut apabila tiba saatnya dia ditinggalkan seorang
diri.
SITUASI BERBEDA
Kisah
dan rumusan dari Templar itu amat menguja dan membantu. Saya sebenarnya
pernah menerima satu pesan di inbox dari seorang wanita yang menghadapi
situasi berbeda dari kisah wanita di atas. Saya petik sebagian isi
inbox dengan sedikit pengubahsuaian tanpa mengubah maksud asal
pengirimnya. Inti dari pesan tersebut adalah :
Saya masih tidak faham kenapa seseorang perlu menikah.
Jujur
saja, dari umur 13 tahun, saya telah membuat keputusan untuk tidak mau
menikah. Tahun ini saya sudah berusia 25 tahun, dan orang yang paling
tidak senang bersendirian ini ialah ibu saya.
Saya pernah bertanya teman-teman, kenapa mereka sangat ingin menikah? Kebanyakan jawaban yang saya dapat, kerana menginginkan anak. Dan saya seperti tak percaya, apa? Sekadar itu? Kemudian, setelah itu, apa lagi ?
WHY we need to get marry?
Dua
kisah berbeda dari dua wanita muda. Yang pertama tidak boleh hidup
sendiri dan sentiasa mencoba untuk memiliki seseorang untuk mencurahkan
kasih mesra, manakala yang kedua pula merasa cukup dengan bersendiri,
tidak memerlukan seseorang untuk didampingi.
Saya coba memahami arti bahagia dari perspektif kedua-duanya, dan di sinilah saya menemukan dua titik penting yang dapat saya ketengahkan dari kisah wanita di atas dan rumusan yang dibuat oleh penulis untuk membantu menjawab persoalan dari inbox yang saya terima.
APAKAH ITU BAHAGIA?
Berapa banyak manusia hari ini yang kelihatanya bahagia, namun realitinya mereka masih mencari-cari kebahagiaan yang hakiki.
Mereka
mengandaikan kebahagiaan dapat diperoleh dengan menikahi wanita kerana
parasnya yang cantik rupawan atau lelaki dengan wajah yang tampan, atau
kerna harta yang melimpah ruah, keturunan yang baik-baik, yang punya
pendidikan tinggi, pekerjaan yang cemerlang dan semisalnya, namun
setelah bergelar suami isteri, terasa masih ada kekurangan.
Berapa
banyak pula yang mengandaikan kebahagiaan akan terbit dari kehadiran
anak yang ramai. Anak-anak yang sewaktu kecilnya, mulus, imut,
menggemaskan dan menghiburkan. Akan tetapi, setelah dewasa, dengan
berbagai masalah yang melanda, rasa bahagia semakin hilang dan sirna.
Ketika
itu, mereka bagaikan tersadar, kecantikan dan ketampanan pasangan bukan
lagi kebahagiaan. Harta yang melimpah bagaikan tiada gunanya, keturunan
yang baik, pangkat dan pekerjaan yang cemerlang pun tidak menjamin rasa
gembira. Dan ketika itu juga, mereka bagaikan tersadar, anak-anak yang
ramai tidak semestinya boleh menjadi puncak tenang dan damai.
Semua itu tidak mencerminkan kebahagiaan !
Jiwa
mulai merasakan resah dan gelisah. Duduk tak senang, berdiri tak
tenang, makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena. Pendek kata
serba serbi rasa tak membahagiakan.
ARTI BAHAGIA
Justru
itu, saya agak bersetuju dengan rumusan dari Templar tentang bahagia.
Penilaiannya itu walau tidak sepenuhnya bertepatan dengan nilai agama,
namun ia boleh diubahsuaikan untuk memenuhi kehendak dan ‘ruh’ dari
didikan Islam, bahawa untuk mencapai kebahagiaan di dalam hidup,
seseorang itu perlu terlebih dahulu bahagia dengan dirinya.
Namun,
perlu diingat, bahagia dengan diri bukan bermakna kesenangan dan
kegembiraan dikelilingi perkara-perkara berbentuk material dan
kebendaan, akan tetapi bahagia dengan diri ialah tenang bahagia yang
lahir dari rasa ‘bertuhan’.
Inilah peraturan cinta Islami.
Bahagia
atas setiap perintah Allah. Gembira dengan menjauhi semua larangan-Nya.
Baik susah atau senang, tawa atau tangis hiba, ketenangan dan
kebahagiaan itu sentiasa mengiringi kerana keyakinan dan kefahamannya
bahawa dirinya ‘ada’ DIA Yang Maha Mengasihi, Maha Mendengar, Maha
Melihat dan Maha segala-galanya untuk dia mengadu tentang nasib diri.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala :
الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
“(Yaitu
) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah-lah hati
menjadi tenang.” ( Surah Ar Ra’du ayat 28 )
Inilah
manfaat yang paling agung. Mentaati Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan
melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mengenali Pencipta yang setiap perbuatan-Nya amat berbeda dari makhluk
yang ada. Memahami setiap kebaikan dan keburukan yang diberi-Nya adalah
ujian keimanan. Menginsafi betapa hikmah yang tersurat dan tersirat dari
segala yang berlaku dalam hidupnya adalah di dalam pengetahuan dan
kehendak Tuhan. Semua ini menjadi pendorong dan motivasi untuk dia
tampil tenang. Inilah ‘rasa’ kebahagiaan yang kekal abadi.
Ringkasnya, ketenangan dan kebahagiaan yang diperolehi adalah hasil dari ingatan yang istiqomah kepada Allah ar Rahman.
MENIKAH UNTUK BERBAGI
Jika
dari kisah wanita pertama, setelah menemui rasa bahagia dengan
bersendirian, dia menolak hidup berpasangan, maka di dalam Islam,
perkara sebaliknya pula yang dianjurkan.
Menikahlah untuk berbagi kebahagiaan.
Tujuan
dari perkahwinan di dalam Islam, bukan semata-mata untuk menghalalkan
kasih cinta si lelaki dan perempuan, atau untuk mendapatkan anak dan
penyambung warisan keluarga. Tetapi lebih dari itu ia adalah manifestasi
kesyukuran yang terbit dari kebahagiaan dan ketenangan diri untuk
sama-sama dinikmati oleh orang lain sebagai pelaksanaan seruan Allah dan
Rasul yang dicintai.
Menikah demi mengambil manfaat dari janji Allah SWT bahawa sakinah, mawaddah dan rahmah, semua itu tersedia di dalam sebuah ikatan yang sah.
Firman-Nya :
وَمِنْ
آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا
إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ
لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
“Dan di
antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu
isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa
tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda
bagi kaum yang berpikir.” ( Surah ar Rum ayat 21 )
Menikah juga sebagai mengikut satu jalan ( sunnah ) dari jalan-jalan yang dianjurkan oleh Rasul-Nya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud :
“Daripada Anas r.a, katanya telah bersabda nabi S.A.W bahawa menikah adalah sunnahku, barang siapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku.”
Bila
peraturan ini difahami sebaiknya, maka seorang wanita yang bahagia akan
menjadi isteri yang membahagiakan suami dan anak-anaknya. Begitu juga,
seorang lelaki yang bahagia, akan melebarkan kebahagiaan itu kepada
isteri dan anaknya.
Keluarga yang bahagia melahirkan
masyarakat yang bahagia. Masyarakat yang bahagia mewujudkan sebuah
negara yang bahagia. Bahagia bernaungkan rahmat dan berkat dari Tuhan
Yang Maha Esa.
Alangkah besar kesan yang lahir dari individu yang bahagia dengan dirinya! Maha Suci-Mu, Ya Allah !
BAHAGIAKAN DIRIMU…
Akhirnya,
insafilah, bahawa insan yang disayangi, baik pasangan ( suami atau
isteri ), anak-anak, saudara-saudara dan sanak kerabat, bukanlah puncak
dan sumber bahagia. Mereka hanya lah salah satu jalan dari kebahagiaan
di dunia.
Being alone is great, but being with them is even better!
Begitu juga harta, pangkat dan kesenangan yang ada. Ambillah manfaat
yang tersedia darinya tanpa melupakan akhirat yang lebih kekal di sana,
sebagaimana Allah SWT berfirman :
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ
اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا
وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي
الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ
“Dan
carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan)
negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari
(kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana
Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan
di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang
berbuat kerusakan.” ( Surah Al-Qashas ayat 77 )
Ingatlah dua perkara ini : (1) Bahagiakan dirimu dan (2) Berbagilah rasa bahagia itu.
InsyaAllah,
kebahagiaan dan ketenangan akan senatiasa memayungi, kerana bahagia
sebenarnya adalah dari ‘jiwa kehambaan’ yang sejati.
Hidup bahagia bersama-Nya, walau tanpa atau bersama mereka yang tercinta.
Wallahu a'lam.
Semoga bermanfaat.
Cari dan teruslah mencari cinta Ilahi.
Salam ukhwah fillah selalu ^_^
Wallahu a'lam.
Semoga bermanfaat.
Cari dan teruslah mencari cinta Ilahi.
Salam ukhwah fillah selalu ^_^
0 komentar:
Posting Komentar